Search

YAMAN: APAKAH YANG TERJADI?

Yaman, merupakan sebuah negara yang terletak di Semenanjung Arab. Berdasarkan rekod Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sehingga Jun 2019 terdapat 29,559,878 penduduk di Yaman. Jumlah ini merangkumi 0.38% populasi penduduk dunia. Siapa yang tidak tahu akan keindahan dan kemakmuran negara ini suatu ketika dahulu. Pada November 2018, PBB melaporkan hampir 85000 kanak-kanak berusia bawah lima tahun mati akibat kekurangan nutrisi. Hal ini kesan daripada peperangan yang berlanjutan selama tiga tahun.


Kajian daripada Badan Kebajikan Save the Children pula melaporkan, secara analoginya jumlah kematian kanak-kanak tersebut bersamaan dengan jumlah kanak-kanak yang berusia bawah lima tahun di Birmingham United Kingdom (UK). Begitulah hakikat kanak-kanak di Yaman. Jika kanak-kanak di Malaysia mampu hidup selesa dengan senyuman dan pelbagai jenis makanan terhidang di depan mata. Nasib yang berbeza dilalui oleh kanak-kanak Yaman. Kanak-kanak di sana terpaksa bertarung nyawa menempuh kehidupan seharian. Kadang-kadang kita terfikir, banyaknya makanan yang kita ada sampai kita membazir sepanjang masa sedangkan masyarakat dunia khususnya anak-anak di Yaman derita menanti sebuku roti.


Satu tinjauan oleh Humanitarian Needs Overview for Yemen pada awal tahun 2019, menunjukkan angka mangsa peperangan semakin meningkat.Seramai 14.3 juta orang diklafikasikan sebagai keperluan yang mendesak dan kronik manakala sekitar 3.2 juta orang memerlukan rawatan akibat kekurangan zat makanan. Daripada jumlah tersebut 2 juta orang ialah kanak-kanak serta lebih 1 juta wanita hamil dan menyusukan bayi. Jumlah ini akan terus meningkat selagi konflik peperangan di Yaman tidak selesai.



Seorang bayi Yaman yang menghidapi kekurangan nutrisi

Bukan sekadar kematian kanak-kanak disebabkan kekurangan nutrisi malah dalam laporan Agensi Pelarian PBB (UNHCR) juga menyatakan kira-kira 3.3 juta orang masih menjadi pelarian. Jumlah ini meningkat daripada 2.2 juta pada tahun 2018. Jumlah tapak pelarian pula meningkat hampir separuh dalam tempoh dua belas bulan kerana peningkatan jumlah pelarian.


Sebagai rakyat Malaysia yang terkenal dengan sifat pemurah, sudah pasti bantuan dan sokongan kita amat dinantikan oleh masyarakat Yaman untuk kelangsungan hidup mereka. Sebagai contoh, sewaktu simposium dan pameran foto Stand With Yemen yang diadakan di Institut Tamadun Islam & Dunia Melayu (Istac) di Taman Duta, Kuala Lumpur. Perdana Menteri Malaysia turut mengumumkan bahawa Malaysia akan menyumbang AS100,000 (RM407,000) untuk bantuan kemanusian Yaman.


Kesimpulannya, pihak seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang mempunyai pengaruh di peringkat global perlu bersatu untuk membantu menyelesaikan konflik di Yaman. Semakin lama konflik peperangan ini berlaku semakin banyak nyawa yang akan terkorban. Bantuan dan sokongan dunia untuk Yaman amat diperlukan. Persoalannya, mampukah Yaman yang gilang-gemilang suatu ketika dahulu dikembalikan?


#Yaman #Peperangan #Malnutrisi #Kekurangannutrisi


"Misi Kemanusiaan Merentas Sempadan"


Mohamad Zaiful Faizal bin Mohamad Hasan

Aktivis Kemanusiaan Global Peace MIssion (GPM)


94 views
This site was designed with the
.com
website builder. Create your website today.
Start Now