Search

UIGHUR : SAMPAI BILA DUNIA HENDAK ‘TUTUP MATA’ ?

Updated: Aug 1, 2019


Kempen #PeduliUighur

Dunia ini pernah menjadi saksi penindasan etnik Rohingya di wilayah Rakhine Myanmar. Dunia ini tidak duduk diam, dunia ini bangkit menzahirkan ketegasan menentang kezaliman tersebut. Dunia yang sama juga perlu menjadi saksi penindasan etnik Uighur yang sedang berlaku di Xinjiang, China. Sampai bila dunia perlu memejamkan mata, memekakkan telinga, membisukan mulut seolah-olah membenarkan setiap penindasan negara tembok besar terhadap masyarakat Uighur.


PENGENALAN

Uighur merupakan salah satu etnik yang wujud di wilayah Xinjiang, China. Wilayah ini suatu ketika dahulu merupakan sebuah negara yang bernama East Turkistan. Laporan yang dikeluarkan oleh kerajaan China pada tahun 2015 masyarakat Uyghur yang tinggal di Xinjiang sekitar 11.3 juta orang. Jumlah itu berkurang sehingga 6-7 juta sahaja sekitar September 2018. Kalau kita masih ingat filem yang di popularkan oleh Allahyarham Tan Sri P.Ramle iaitu Tiga Abdul. Beliau ada menyebutkan “harta-harta Ismit Ulam Raja yang diluar negara iaitu di Turkistan”.


Hal ini menunjukkan negara ini memang wujud dan masyarakat yang tinggal di situ ialah etnik Uighur. Mereka mempunyai identiti tersendiri dari segi bahasa, agama, dan budaya. Malah mereka juga mempunyai bendera negara sendiri suatu ketika dahulu. Pada asalnya wilayah Xinjiang ini diduduki oleh etnik Uighur dan juga Kazakh. Namun pihak pentadbiran China secara drastik memasukkan etnik dari suku Han ke wilayah ini untuk mengasimilasikan etnik asal Xinjiang dan mengurangkan jumlah masyarakat Uighur.


KEKAYAAN HASIL BUMI

Xinjiang bukan lah wilayah yang kering kontang. Wilayah ini subur dengan hasil mahsul menyebabkan kerajaan China amat tertarik dengan wilayah ini. Pelbagai hasil bumi seperti minyak, gas, dan kapas wujud di wilayah ini. Dilaporkan, rizab simpanan minyak sahaja mencecah 150 juta tong. Simpanan gas asli sekitar 13.5 juta kubik. Dari segi pembuatan barangan berasaskan kapas pula, wilayah ini mempunyai bertan-tan kapas yang berkualiti tinggi. Berdasarkan kesemua maklumat tersebut tidak hairanlah mengapa kerajaan China amat tertarik dengan wilayah ini. Walaupun wilayah ini dilimpahi dengan hasil bumi, namun rata-rata pendapatan masyarakatnya sekitar $12 setiap bulan. Kekayaan hasil bumi Xinjiang tidak dapat dirasai oleh masyarakat Uighur. Semua ini merupakan tekanan yang dilakukan oleh kerajaan China terhadap mereka.

Kedudukan Uighur di dalam peta dunia

PROPAGANDA CHINA

Matlamat utama kerajaan China adalah untuk mengasimilasikan masyarakat Uighur supaya menjadi seperti masyarakat China. Mereka ingin masyarakat Uighur melupakan segala adat resam dan budaya negara asal mereka iaitu East Turkistan. Pelbagai kaedah dilakukan oleh kerajaan China untuk merialisasikan matlamat tersebut. Antaranya ialah, Program “Re-education” atau pendidikan semula kepada kanak-kanak. Setiap kanak-kanak Uighur di bawa ke kem dan diterapkan dengan nilai dan budaya China dari segi pemakaian, bahasa, makanan, kebudayaan dan patriotisme. Perkara ini penting supaya anak-anak ini lupa akan segala budaya Uighur seterusnya mempunyai semangat kenegaraan China yang tinggi. Selain itu, kerajaan China turut memberikan tekanan fizikal dan mental kepada masyarkat Uighur. Sebahagian mereka didera dan dipukul sewaktu berada di dalam kem. Terdapat juga wanita yang menjadi mangsa rogol oleh polis sewaktu berada dalam kem tersebut.


PENINDASAN TERHADAP ISLAM

Secara umumnya kerajaan China membenarkan penganut agama Islam untuk beramal dengan ajaran Islam. Sebab itu tidak hairan jika kita ke negara China kita akan lihat ramai umat Islam dan mereka bebas mengamalkan agama dengan aman. Namun isu yang timbul ialah perkara tersebut tidak berlaku di wilayah Xinjiang. Masyarakat muslim Uighur tidak diberi hak untuk mengamalkan agama Islam seperti di wilayah-wilayah lain.


Di wilayah ini segala aktiviti melibatkan agama Islam seperti pergi ke masjid, solat, dan puasa dilarang sama sekali. Sesiapa yang mengamalkan ajaran Islam akan ditangkap dan dibawa ke kem tahanan atau “concentration camp”. Setiap rumah akan diperiksa, jika terdapat peralatan yang menggambarkan seseorang itu Islam seperti sejadah, Al-Quran dan buku-buku agama turut ditahan. Pada suatu tahap umat Islam Uighur dipaksa minum arak dan makan babi sewaktu di bulan Ramdahan seperti yang berlaku pada tahun 2015.


Dari segi kekeluargaan pula, mereka tidak dibenarkan melangsungkan perkahwinan dan menamakan anak dengan tradisi Islam. Mereka perlu melakukan seperti yang dilakukan oleh masyarakat China. Perkara yang sangat memilukan ialah wanita-wanita Uighur dipaksa berkawin dengan lelaki China atas arahan dan kehendak pemerintah. Bagi perempuan yang suaminya ditahan mereka disuruh menerima lelaki China untuk tinggal bersama dengan alasan sebagai keluarga angkat tanpa menghiraukan batas-batas pergaulan khusunya bagi masyarakat muslim Uighur.


CONCENTRATION CAMP

Setiap individu yang ditangkap akan diletakkan di Concentration Camps. Hingga hari ini dianggarkan hampir 1-3 juta masyarakat Uighur ditahan di dalam kem tersebut. Pihak kerajaan China menamakan kem ini sebagai Kem Latihan Vokasional kalau di Malaysia bolehlah kita gambarkan seperti Pusat Giat Mara, Sekolah Vokasional dan Pusat Latihan Kemahiran. Persoalannya, jika benar kem itu untuk tujuan latihan vokasional kenapa pengawalan kem terlalu ketat seperti penjara.


Keseluruhan kem dipagar dengan dawai berduri. Setiap penjuru diletakkan pasukan polis untuk tujuan kawalan. Keadaan kem itu tidaklah indah seperti pusat-pusat kemahiran yang wujud di negara kita. Sebahagian daripada mangsa turut menamakan kem itu sebagai kem kematian death camp. Hal ini kerana, dalam tempoh tiga bulan sahaja daripada 1 juta tahanan sebanyak 132,400 orang mati di dalam kem tersebut. Angka kematian tersebut tidak termasuk jumlah kematian kanak-kanak. Jika dicampur sudah pasti angka lebih besar dapat kita lihat dalam isu kematian di dalam kem tersebut.


Di dalam kem inilah mereka akan menjalani proses pembelajaran semula atau Re Education. Segala budaya dan pengamalan masyarakat China di ajar kepada mereka untuk meningkatkan semangat patriotisme kepada kerajan China.


"Concentration Camp"

SEBAB KEPADA PENAHANAN

Terdapat beberapa faktor yang mendorong kepada penahanan seseorang di wilayah Xinjiang. Selain daripada perkara-perkara yang berkaitan agama mereka juga turut ditangkap dan ditahan dengan sebab imigrasi untuk mendapatkan peluang pekerjaan atau belajar. Terdapat beberapa kes apabila seseorang itu keluar dari wilayah Xinjiang untuk melanjutkan pelajaran akhirnya mereka dipanggil balik ke Xinjiang dan ditahan. Sebagai contoh, isu yang melibatkan Guligeina Tashimaimaiti. Beliau seorang masyarakat Uighur yang belajar di Malaysia. Beliau merupakan graduan UTM yang mempunyai Ijazah Sarjana.


Di Malaysia beliau turut bekerja sebagai computer programmer untuk menampung kos pengajian. Setelah tamat master beliau pulang ke Xinjiang pada 26 Desember 2017. Sehingga ke hari ini tidak ada siapa tahu ke mana perginya Guligeina. Kemungkinan besar beliau telah ditahan dan dimasukkan ke kem tahanan tersebut.


KEHIDUPAN UYGHUR DI XINJIANG

Di Malaysia, kita bebas bergerak ke mana sahaja. Perlembagaan Malaysia memberi hak untuk kita bergerak bebas selagi tidak mendatangkan kemudaratan kepada orang lain. Perkara seperti ini tidak berlaku kepada masyarakat muslim Uighur. Mereka tidak bebas bergerak. Setiap langkah mereka diawasi. Kerajaan China mewujudkan program pengawalan populasi secara menyeluruh untuk mengawal pergerakan masyarakat Uighur. Tinjauan keselamatan harian dilakukan kepada mereka.


Telefon mereka diperiksa setiap masa bagi memantau kandungan yang mencurigakan. Setiap masej yang dihantar melalui aplikasi WeChat turut dipantau oleh pihak polis. Perkara yang paling mengejutkan apabila pengumpulan data biometrik seperti cap jari, DNA, rakaman suara, dan 360 imbasan badan dilakukan kepada setiap masyarakat Uyghur. Tidak cukup dengan itu, setiap penjuru bandar Xinjiang dipenuhi dengan kamera (CCTV) yang bertujuan untuk mengawal setiap pergerakan penduduk. Mereka dilayan seolah-olah penjenayah di wilayah sendiri.


RESPON DUNIA

Dunia kini terpisah kepada dua. Dunia gagal mencapai kata sepakat untuk masyarakat Uyghur. Terdapat 22 negara telah mengeluarkan kenyataan bersama Komisioner Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengkritik Beijing atas apa yang berlaku di Xianjiang. Negara-negara tersebut turut mengecam tindakan penahanan secara skala besar dan pengawasan yang berlebihan terhadap masyarakat Uighur di Xinjiang. Di suatu demensi yang lain, terdapat 37 negara yang majoritinya Islam membela Beijing yang bersetuju dengan tindakan yang dilakukan oleh kerajaan China. Persoalannya, bilakah dunia akan mencapai kata sepakat?


GERAKAN MASSA

Isu yang melibatkan masyarakat Uighur dipandang serius oleh Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) di Malaysia. Satu gabungan antara NGO-NGO telah ditubuhkan untuk memupuk kesedaran dunia dalam menangani isu ini. Colation of Malaysian for Uighur diwujudkan dengan kerjasama NGO seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM), Pertubuhan Generasi Baru Kristian Malaysia (ANCOM) dan Pertubuhan Amnesty International (AMNESTY).


Bertemakan “Malaysian for Uyghur” (M4U) pertubuhan ini mengorak langkah maju kehadapan dalam membela nasib masyarakat muslim Uighur yang ditindas. Antara perkara yang telah dilaksanakan termasuklah menghantar memorandum bantahan kepada Kedutaan China di Malaysia pada 5 Julai 2019 bagi menuntut hak ke atas penindasan yang berlaku. Malangnya keangkuhan negara tembok besar itu teserlah apabila menolak untuk menerima memorandum tersebut. Walaupun begitu, semangat dan usaha itu tidak terhenti.


Selain itu, masjid-masjid di seluruh negara juga diminta untuk memasukkan doa memohon pertolongan Allah bagi kesejahteraan masyarakat Uighur sewaktu kthubah Jumaat. Dalam waktu yang sama tabung derma untuk masyarakat Uighur telah diperkenalkan oleh Global Peace Mission (GPM) bagi meringankan beban mereka. Bagi masyarakat yang ingin menyumbang boleh terus ke billplz.com/peduliuyghur untuk melakukan sumbangan. Pelbagai siri penerangan isu Uyghur turut dilakukan dilapangan termasuklah Persidangan Meja Bulat bersama NGO-NGO di Malaysia bagi menjayakan kempen Malaysian for Uyghur.


KESIMPULAN

Isu yang melibatkan etnik Uighur bukan sekadar isu agama. Isu ini melibatkan isu kemanusian. Kebebasan seseorang untuk bergerak bebas tanpa kawalan yang terlalu ketat, kebebasan seseorang untuk mempraktikkan kepercayaan masing-masing, kebesasan seseorang untuk mengamalkan budaya dan tradisi tersendiri. Kita semua manusia yang mempunyai akal dan perasaan. Kita sendiri tidak sanggup berada di dalam kem tahanan, tidak sanggup diperhati 24 jam dan tidak sanggup terpisah dengan ahli keluarga. Namun, itulah yang berlaku di Xinjiang. Masyarakt Uighur sedang menderita dan kita hanya masih terlena memejamkan mata. Bukalah matamu wahai dunia.


#Uighur #IsuChina #Budaya #Penindasan #PBB #EastTurkishtan #MasyarakatIslam


Mohamad Zaiful Faizal Bin Mohamad Hasan

Aktivis Kemanusiaan Global Peace Mission (GPM)

100 views
This site was designed with the
.com
website builder. Create your website today.
Start Now