Search

UIGHUR DI XINJIANG: MANGSA SINICIZATION (PENCINAAN)

Etnik Uighur tiada persamaan dengan masyarakat cina

Xinjiang. Tanah yang dahulunya subur dengan budaya Islam dan tradisi kehidupan tersurat bersama nilai keagamaan. Meskipun bersebelahan dengan negara China, masyarakat Islam Uighur tidak sedikit pun mempunyai persamaan dengan masyarakat China, berdasarkan tradisi, adat mahupun budaya. Di Tanah Baru ini juga, telah lahirnya tokoh-tokoh Islam tersohor di dunia seperti Al-Bukhari, Muslim, Ibn Sina dan Al-Farabi. Namun, kegemilangan Islam di tanah berkeluasan 1.8 juta kilometer persegi ini hanya tinggal sejarah. Nilai-nilai keislaman yang mana sudah diterapkan dalam masyarakat Uighur gugur secara perlahan-lahan akibat daripada pengasimilasian budaya yang dijalankan terhadap mereka oleh negara China.


Sinicization (Pencinaan), adalah istilah yang digunakan secara meluas, di mana masyarakat bukan Cina diletakkan di bawah pengaruh China Han bertujuan untuk mengasimilasikan budaya, adat dan cara hidup mereka seperti masyarakat China Han. Pengasimilasian ini bukan dijalankan secara rela, namun secara paksaan dan desakan negara China dan inilah yang dihadapi oleh bangsa Uighur kini. Paksaan untuk meninggalkan amalan- amalan keagaman, dipaksa berkahwin tanpa rela dengan kaum lain, dipenjara dan diseksa tanpa justifikasi, hanya disebabkan pembawakan tradisi, agama, dan budaya yang berbeza dengan masyarakat di negara China. Ramai dikalangan mereka melarikan diri ke negara lain sekadar untuk menjalani hidup yang lebih baik. Penulisan ini bertujuan untuk menyingkap hubungan masyarakat muslim Uighur dan ganggu stress pasca trauma atau lebih dikenali sebagai‘Posttraumatic stress disorder’ (PTSD).


Gangguan Stress Pasca Trauma terhadap etnik Uighur

PTSD adalah keadaan kesihatan mental yang dicetuskan oleh peristiwa yang menakutkan - sama ada mengalami atau menyaksikannya. Simptom mungkin termasuk flashbacks, mimpi buruk dan kecemasan yang teruk, serta pemikiran yang tidak terkawal tentang kejadian itu. Mereka yang didiagnos mempunyai PTSD mungkin mengalami masalah dalam situasi kerja, sosial atau dalam hubungan mereka. Gangguan untuk melakukan kerja-kerja seharian memburukkan lagi keadaan bagi mereka yang mengalami gejala PTSD.



Wajah-wajah etnik Uighur yang kini menetap di Turki

Bagi masyarakat Uighur, PTSD berkemungkinan boleh dialami oleh mereka akibat daripada layanan dan deraan yang melampau dijalankan keatas mereka. Antara gejala yang dialami ialah ketidakmampuan untuk mengingati/ mempunyai memori memori yang berkaitan dengan kejadian trauma tersebut, sukar meletakkan kepercayaan terhadap orang lain, dan senantiasa berasa resah dan gelisah apabila bersendirian mahupun bersama orang lain. Mereka yang mengalami PTSD juga mungkin merasa kurangnya motivasi atau minat untuk melakukan aktiviti-aktiviti seharian.


Mimpi ngeri tahanan Uighur

Gangguan dan kesukaran untuk tidur mampu menjadi perkara yang acap kali berlaku pada mereka. Merujuk pada kes yang beraku pada seorang bekas tahanan di salah satu kem tumpuan di Xinjiang, beliau telah dipenjarakan semuda usia 16 tahun dan dirogol berulang kali, termasuk 2 kali keguguran kandungan. Muka beliau juga dicucuh dengan batang rokok yang masih menyala, dan mempunyai lebih 100 parut di seluruh badan. Kini beliau telah berjaya melarikan diri ke luar negara dan terbuka untuk testimoni tentang apa yang berlaku kepada beliau. Perkara perkara yang tidak berperi kemanusiaan ini adalah tidak wajar dijalankan dan mempunyai kesan yang sangat negatif terhadap mental dan fizikal seorang insan.


Namun akses terhadap rawatan itu bagi rakyat Xinjiang bukanlah suatu hal yang mudah. Sekatan dan kawalan terhadap cara hidup mereka menghindar mereka daripada mendapat rawatan dan ubat-ubatan. Kesakitan mental tidaklah sejelas fizikal. Mereka sangat memerlukan bantuan pakar-pakar psikologi and psikiatri untuk membantu dan menghulurkan tangan kepada mereka yang PTSD. Sebagai rakyat marhaen, apakah yang kita mampu buat demi meringankan beban mereka? Ambil peduli dan turut serta dalam kempen kesedaran terhadap masyarakat muslim Uyghur mahupun rakyat Xinjiang. Hulurkan bantuan, walau dalam apa jenis sekalipun yang mampu memberikan peluang kepada mereka untuk mejalani hidup yang lebih baik. Sama-sama kita mendoakan agar rakyat Xinjiang diselamatkan oleh Allah SWT dari segala kekejaman dan penindasan yang dihadapi oleh mereka.



Salam Kemanusiaan,

Muhammad Aiman Tajul Aris

Aktivis Kemanusiaan Global Peace Mission (GPM)


#PTSD #Uighur #Xinjiang #Mangsapencinaan #China



Rujukan:


1. Abnormal Psychology (17th ed., pp. 182-193). Essex England: Pearson Education Ltd.




0 views
This site was designed with the
.com
website builder. Create your website today.
Start Now