Search

KISAH SYAHIDNYA PRESIDENT MESIR, ALLAHYARHAM DR MORSI.



Pada 18 Jun yang lepas, dunia dikejutkan dengan pemergian seorang tokoh dan pemimpin Islam yang terkenal, Allahyarham Dr. Mohamed Morsi. Beliau telah disahkan meninggal dunia selepas dilaporkan rebah dan pengsan sewaktu sesi perbicaraan di sebuah mahkamah tempatan. Hasil pemeriksaan pakar perubatan mendapati Allahyaram meninggal dunia akibat serangan jantung. Bekas presiden Mesir ini meninggal dunia pada usia 67 tahun. Sebelum berbicara lebih lanjut, mari kita selusuri latar belakang diri beliau.


Mohamed Morsi Isa’ Al-Ayyat dilahirkan pada 20 ogos 1951 di kampung al-Udwah, Wilayah As-Sharqiya, Mesir. Beliau yang merupakan anak sulung daripada lima adik-beradik ini datang dari keluarga yang sederhana dan mementingkan nilai agama Islam. Ayah beliau merupakan seorang petani, manakala ibunya pula seorang suri rumah. Seluruh keluarga beliau merupakan penghafaz al-Quran termasuk isteri dan anak-anaknya.


Beliau telah berpindah dan menyambung pelajaran di Universiti Kaherah dalam bidang Kejuruteraan dari tahun 1970 hingga 1975. Beliau kemudiannya menyambung pengajian dan memperoleh Ijazah Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Metalurgi di universiti yang sama pada tahun 1978. Berikutan pencapaian cemerlangnya itu, kerajaan Mesir telah memberikan biasiswa kepada beliau bagi menyambung pengajian Doktor Falsafah di Universiti Southern California, Amerika Syarikat. Pada tahun yang sama juga, beliau telah melangsungkan perkahwinan dengan sepupu beliau, Naglaa Mahmoud dan mereka dikurniakan lima orang cahaya mata.


Pada tahun 1982, beliau telah berjaya menamatkan pengajiannya di Universiti Southern California dengan gelaran PhD. Seterusnya, beliau dilantik sebagai pensyarah di universiti yang sama sebelum menjadi pembantu profesor di Universiti California-North Ridge. Beliau yang merupakan antara pakar dalam bidang permukaan seperti logam turut terlibat dalam beberapa projek NASA dalam membangunkan enjin kapal angkasa (space shuttle engine). Selepas pulang dari Amerika Syarikat (AS), beliau dilantik dan berkhidmat sebagai profesor serta Ketua Jabatan Fakulti Kejuruteraan Material Universiti Zaqaziq pada 1985 hingga 2000.


Dr Morsi mula menjadi Ahli Parlimen Mesir pada tahun 2000 sehingga 2005. Beliau dipilih sebagai calon bebas memandangkan pada ketika itu organisasi yang diwakilinya, Ikhwan Muslimin secara teknikalnya tidak wujud dan masih diharamkan untuk menyertai pilihan raya Mesir di bawah Presiden Hosni Mubarak. Kemudian, pada tahun 2011 Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) sebuah parti politik yang berpaksikan kepada Islam, telah ditubuhkan dan Dr Morsi telah dipilih sebagai presiden pertamanya.


Pada ketika itu, satu pilihan raya demokratik diadakan bagi memilih presiden baru selepas kerajaan Mubarak disingkirkan dalam satu revolusi yang merupakan sebahagian daripada gelombang Arab Spring. Tidak ramai yang tahu bahawa pada asalnya Allahyarham bukan pemimpin utama Ikhwan Muslimin, malah calon asal Presiden bagi pilihan raya itu adalah Khairat al-Shater, seorang jutawan. Bagaimanapun, Khairat terpaksa menarik diri atas sekatan peraturan teknikal. Justeru, nama Allahyarham dipilih sebagai pengganti dan beliau berjaya memenangi pilihan raya presiden dengan majoriti 51.73%.


Pada 30 Jun 2012, beliau secara rasminya telah mengangkat sumpah sebagai Presiden Pertama Mesir yang dipilih secara demokratik. Sepanjang tempoh pemerintahan beliau, pelbagai konflik tercetus antara Allahyarham dan ramai pihak di Mesir. Ini termasuklah konflik dikalangan pihak tentera apabila Allahyarham meminta panglima tentera Mesir, General Mohamad Hussein Tantawi dan ketua staf tentera General Sami Hafez Hanan meletak jawatan serta melantik Ketua Perisikan Tentera General Abdel Fattah el-Sisi sebagai menteri pertahanan Mesir yang baru. Langkah ini menimbulkan rasa tidak puas hati pihak tentera dan merasakan ianya cubaan kerajaan bagi mendapatkan semula kuasa dari Majlis Tertinggi Angkatan Tentera.


Namun, disebalik segala yang berlaku Allahyarham tetap teguh dan komited dengan prinsip Islam beliau dalam membawa Mesir ke sebuah era baru yang lebih baik. Beliau telah memperkenalkan polisi dari rakyat untuk rakyat, meneliti semula perlembagaan Mesir untuk memasukkan secara mantap elemen hak asasi manusia dan menyemarakkan pelaksanaan undang-undang Islam. Beliau turut komited pada isu-isu kemanusiaan termasuk isu kemanusiaan rakyat Palestin.[1]


Dari sudut pertumbuhan eknonomi negara Mesir, beliau melihat potensi Terusan Suez untuk di integrasikan dengan hub industri dan keusahawanan negara Mesir. Beliau telah berjaya mendapatkan dana sebanyak AS$8million dari negara Qatar dan beliau juga berjaya mendapatkan rakan strategik dari negara India melalui perdana menteri India ketika itu Manmohan Singh supaya pelabur teknologi dan industri dari India melabur dan beroperasi di Mesir.


Pada 3 Julai 2013, semuanya berakhir apabila pihak tentera menggantung perlembagaan dan mengisytiharkan pembentukan kerajaan sementara menjelang pilihan raya presiden. Allahyarham disingkirkan dalam satu rampasan kuasa diketuai el-Sisi. Beliau bersama beberapa pimpinan Ikhwan Muslimin yang lain telah ditahan dan dihadapkan dengan pelbagai tuduhan yang bermotifkan politik dendam. Kini, Mesir kembali mundur dan bergolak dengan dasar yang zalim dan menekan rakyat.


Selama 6 tahun disisihkan, tragedi yang menimpa Dr Morsi hanyalah simbol kepada penindasan yang jauh lebih besar terhadap musuh politik rejim al-Sisi. Ratusan ribu lagi terkesan dan menerima impak yang buruk seperti terkorban, menjadi pelarian, dipenjara dan sebagainya. Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama orang-orang yang soleh serta diterima amalan baik beliau di sisi Allah SWT.


Rujukan:

1. www.thepatriots.asia

2. www.bbc.com


#Presiden #Morsi #Mesir #tokoh #pemimpin



126 views
This site was designed with the
.com
website builder. Create your website today.
Start Now