Search

GLOBAL PEACE MISSION (GPM) SERTAI SOLIDARITI MALAYSIA UNTUK NEW ZEALAND

KENYATAAN MEDIA


Global Peace Mission (GPM) Malaysia telah menyertai Solidariti Malaysia Untuk New Zealand bersama pimpinan pelbagai kaum dan agama pada petang hari ini ekoran dari insiden tembakan yang berlaku di dua buah masjid Christchurch, New Zealand dan telah membunuh 50 orang serta mencederakan puluhan yang lain. Solidariti ini adalah anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan juga Friendship Group of Interfaith Services (FGIS).


Solidariti yang mengumpulkan pimpinan pelbagai kaum dan agama ini bagi menyampaikan salam takziah dan juga keprihatinan masyarakat majmuk di Malaysia termasuk memberikan sokongan moral kepada masyarakat New Zealand yang telah melalui peristiwa yang ‘gelap’ dan ‘buruk’ dalam sejarah negaranya. Presiden ABIM yang juga merupakan Presiden GPM, Saudara Mohamad Raimi AB Rahim serta pengerusi FGIS, Dato’ Jega telah menyerahkan memorandum sokongan kepada Tuan yang Terutama Hunter Nottage, Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia.


TYT Hunter di dalam responnya terhadap himpunan solidarity ini menzahirkan rasa terima kasih kepada sokongan yang diberikan oleh NGO yang terlibat kepada New Zealand dan turut menyerahkan sebuah pasu yang dihiasi dengan daun ‘fern’ yang mengelilingi bunga raya sebagai simbolik kepada kebersamaan kedua-dua negara ini dalam menghadapai waktu-waktu yang sukar seperti sekarang.





Ketua Pegawai Eksekutif GPM, Saudara Ahmad Fahmi bin Mohd Samsudin pula berkata bahawa kemajmukan dan kerencaman masyarakat yang mempunyai pelbagai ras dan agama harus mempunyai dasar tolak ansur dan hormat menghormati antara satu sama lain. Sebarang salah faham dan juga masalah yang timbul harus dibawa merentasi perbincangan ras dan agama terutama apabila ianya dikaitkan dengan tindakan keganasan. Beliau turut menegaskan bahawa GPM akan terus memberikan komitmen dalam menyebarkan keamanan dan juga kedamaian sesuai dengan misinya iaitu ‘Rahmatan lil a’lamiin’.


Di dalam perkembangan yang berkaitan, GPM turut memberikan sokongan kepada inisiatif yang dilakukan oleh Kumpulan Karangkraf yang melancarkan tabung kecemasan #Sinar4Z49Martyrs khusus untuk meringankan beban mangsa dan ahli keluarga yang terlibat dalam insiden berdarah ini.


GPM percaya usaha untuk memupuk keamanan sejagat ini merupakan suatu yang perlu digerakkan secara kolektif merangkumi keterlibatan semua kelompok masyarakat. Semoga dengan usaha-usaha sebegini dapat memberikan mesej jelas kepada seluruh dunia bahawa kita menolak sebarang keganasan dan menjunjung perjuangan mengangkat kemuliaan walau di mana sahaja kita berada.


Salam takziah sekudusnya disampaikan buat keluarga mereka yang telah menghadap Ilahi pada kejadian 15 Mac 2019 lepas dan semoga mereka yang masih mendapatkan rawatan akan pulih sepenuhnya dan dikurniakan kekuatan dan ketabahan.


#Solidarity4NewZealand #BeStrongNewZealand

#TolakTerorisme #SayNotoTerorisme #TerorismHasNoReligion


Global Peace Mission (GPM) Malaysia

Misi Kemanusiaan Merentas Sempadan

103 views
This site was designed with the
.com
website builder. Create your website today.
Start Now