Search

DI SEBALIK "KEM PENDIDIKAN" UIGHUR.


Para peserta "Kem Pendidikan" yang teranaiya.

Penderitaan Uighur yang tersembunyi


Terperangkap dalam keganasan dan penindasan politik, ditambah pula dengan terputus hubungan antara keluarga juga budaya yang semakin hari dikikis oleh pemerintah China. Begitulah penderitaan yang terpaksa dihadapi oleh etnik Uighur. Uighur merupakan minoriti Muslim di bawah pemerintahan China. Kelainan pada etnik Uighur ini ialah mereka mempunyai bendera dan logo sendiri, malahan perbezaan budaya antara rakyat China dan Uighur juga sedikit sebanyak memainkan peranan penting ke atas apa yang berlaku pada Uighur hari ini. Oleh kerana itu, China melancarkan satu pusat pemulihan dan transformasi untuk 'mendidik' etnik Uighur supaya mengamalkan amalan tradisi China dan melupakan tradisi Uighur yang telah sekian lama tertanam dalam diri mereka.


Bersama Dr. Buerhan Saiti, aktivis Uighur yang aktif memperjuangkan bangsanya yang dipijak dan terpijak menyampaikan penderitaan dialami Uighur. Menurut beliau, China; bersembunyi disebalik pendidikan dan reformasi yang hakikatnya berbaur kekejaman apabila menubuhkan kem tahanan bagi menempatkan semua etnik Uighur yang masih berpegang teguh pada amalan nenek moyang mereka. Suara-suara yang menyampaikan penderitaan mereka ke dunia luar semuanya disenyapkan dengan berbagai cara. Muslim yang berpuasa dipaksa berbuka dengan alkohol dan setiap keluarga Uighur diintip etnik Han (rakyat China) sebagai perisik di dalam keluarga itu. Bukan sahaja setiap gerak geri diperhatikan, malahan perkahwinan campur diantara etnik Han dan Uighur juga diamalkan secara paksa. Untuk mereka yang teguh berpegang pada agama, akan ditangkap dan dihantar ke pusat pendidikan untuk mengubah ideologi mereka secara aman untuk mengelakkan terrorisme daripada menular dalam kalangan Uighur. Itulah teori yang digembar-gemburkan oleh pemerintahan China kepada dunia luar sedangkan apa yang berlaku adalah sebaliknya.


Rahsia Kem Pendidikan Semula terbongkar.


Kem pendidikan semula yang terletak di daerah Xinjiang, China didedahkan kepada media sebagai pusat latihan dimana semua tahanan diberikan kursus untuk mereka meneruskan hidup selepas keluar dari pusat itu. Sedang yang berlaku hanyalah penyeksaan jiwa raga yang meruntun hati setiap pendengar dan penontonnya. Pendedahan demi pendedahan diakui oleh bekas tahanan di pusat pendidikan semula tersebut. Dr. Buerhan Saiti meceritakan semula detik-detik pertahanan beliau di Xinjiang dimana mereka perlu berhimpit didalam satu sel beramai-ramai. Sel yang sepatutnya hanya boleh menempatkan tidak lebih sepuluh orang didalamnya, terpaksa menerima jumlah tahanan lebih daripada itu. Oleh kerana ruang yang sempit, tahanan terpaksa bergilir-gilir untuk duduk dan tidur. Kebersihan yang tidak terjaga menyebabkan penyakit berjangkit merebak pantas sekaligus menyebabkan kematian tahanan didalam sel tahanan. Mereka dilayan tidak lebih daripada binatang, malahan lebih teruk daripada itu.


Bukan itu sahaja, ahli keluarga juga dipisahkan diantara satu sama lain. Setiap tahanan yang masuk ke pusat pemulihan akan dihantar ke sel yang berada di daerah berlainan, menyebabkan lebih 50 peratus rakyat Uighur terputus hubungan seterusnya kehilangan ahli keluarga mereka. Bersesuaian dengan namanya sebagai pusat pemulihan, rakyat Uighur juga dipaksa melupakan identiti nenek moyang dan agama yang dianuti. Berita Harian melaporkan tahanan perlu menyanyikan lagu kebangsaan China setiap pagi sambil menghadap dinding dan memakan daging khinzir setiap hari jumaat.[1] Penderaan yang dilakukan China bukan sahaja secara fizikal, malahan emosi juga tersiksa penuh derita. Radio Free Asia menceritakan bagaimana tahanan diberikan masa untuk menangis dan meratapi kesedihan mereka. Jika tahanan menangis diluar waktu yang ditetapkan, mereka akan dihina dan dipukul oleh pegawai yang bertugas ketika itu.[2]

Penjara yang dikatakan Kem Pendidikan Semula

Seolah-olah menjadi Uighur itu adalah kesalahan besar dan merupakan penghinaan keatas China. Pengalaman yang diceritakan sendiri oleh bekas tahanan pusat 'pendidikan' yang terletak di daerah Xinjiang ini sedikit sebanyak membuka mata banyak pihak untuk turut sama berganding bahu membantu saudara seagama yang sedang berjuang mempertahankan kepercayaan dan budaya mereka sendiri. Marilah menghulurkan sekecil-kecil bantuan yang mungkin akan memberikan impak yang besar kepada Uighur. Semoga Uighur sentiasa di bawah lindungan Allah s.w.t.


#Uighur #IsuChina #Budaya #Penindasan #PBB #EastTurkishtan #MasyarakatIslam


Nurshuhadah Zamri

Aktivis Kemanusiaan Global Peace Mission (GPM)


[1] Berita Harian, (2018). China didakwa paksa umat Islam minum arak, makan babi. Rettrieved from https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2018/05/427823/china-didakwa-paksa-umat-islam-minum-arak-makan-babi


[2] Radio Free Asia, (2019). Xinjiang Re-education Camp Detainees Appointed ‘Crying Time’ Every Two Weeks. Retrieved from https://www.rfa.org/english/news/uyghur/crying-05202019171525.html



89 views
This site was designed with the
.com
website builder. Create your website today.
Start Now