Search

APAKAH YANG TERJADI DENGAN SUDAN?




Sudan merupakan sebuah negara yang terletak di Afrika Timur dan merupakan antara negara terbesar di benua Afrika, manakala yang ke-10 terbesar di dunia. Nama Sudan berasal dari Bilad al Sudan, yang membawa maksud “daratan orang hitam”.[1] Sudan yang bersempadan dengan Mesir mempunyai populasi sebanyak 42,48 6,224 orang dan majoriti penduduknya beragama Islam.


Kebelakangan ini, kita sering mendengar nama Sudan menjadi bualan orang ramai samada di sekeliling kita mahupun di media massa. Gelombang tanda pagar #BlueforSudan di media sosial menambah lagi tanda tanya, apa sebenarnya yang terjadi di Sudan? Bagi menjawab persoalan tersebut, kita perlu melihat sedikit kronologi isu Sudan ini yang bermula pada Disember 2018. Pada penghujung tahun tersebut, kerajaan Sudan yang dipimpin oleh Presiden Omar al-Bashir bertindak menaikkan harga barang keperluan harian seperti petrol dan roti sebagai salah satu cara bagi memulihkan ekonomi mereka[2].


Tindakan itu telah menimbulkan ketidakpuasan hati penduduk Sudan sehingga mereka mula menjalankan protes dan tunjuk perasaan bagi menggulingkan Presiden Omar al-Bashir. Pada dasarnya, penduduk Sudan sebenarnya menginginkan pemerintahan yang lebih demokratik setelah dipimpin oleh pemerintah yang kejam dan korup selama hampir 30 tahun. Setelah Omar meletakkan jawatan pada bulan April, Sudan diperintah oleh majlis tentera yang diketuai oleh Leftenan General Abdel Fattah Abdelrahman Burhan.


Kemarahan penduduk Sudan yang dijangka reda setelah kejatuhan Omar al-Bashir ternyata kembali memuncak apabila mereka mendapat tahu bahawa majlis pemerintahan tentera akan mengambil alih pemerintahan Sudan dalam tempoh peralihan selama 2 tahun. Hal ini kerana, rakyat menginginkan hak memilih pemimpin melalui pilihanraya demokratik diberikan terus kepada mereka tetapi sebaliknya yang terjadi. Mereka seterusnya kembali berprotes secara aman di jalanan bagi menyuarakan keinginan mereka.


Sehubungan itu, wakil dari kedua-dua belah pihak telah bertemu antara satu sama lain untuk berunding. Namun, rundingan tersebut gagal apabila pada 3 Jun pihak tentera telah menggunakan kekerasan melampau dan gas pemedih mata bagi meleraikan para penunjuk perasaan di sekitar Khartoum sehingga mengakibatkan ramai yang terkorban. Sehingga ke hari ini, pihak tentera terus menerus menggunakan kekerasan dan kekejaman terhadap rakyat Sudan. Terkini, hampir 100 lebih mangsa yang kehilangan nyawa dan cedera dilaporkan. Selain itu, kes pemerkosaan para petunjuk perasaan wanita di Sudan oleh anggota tentera Pasukan Pendukung Cepat (RSF) juga disahkan terjadi dengan anggaran sebanyak hampir 70 kes. Kekejaman dan pelanggaran hak asasi manusia yang dilakukan oleh pihak tentera di Sudan telah mengundang kecaman dari pelbagai agensi hak asasi manusia sedunia dan juga negara-negara lain seperti Kesatuan Afrika dan Amnesty International.


Rata-rata penduduk dunia menunjukkan solidariti terhadap penindasan yang dialami oleh rakyat Sudan dengan menyebarkan maklumat dan berita tentang keadaan disana. Hal ini kerana, semenjak konflik keamanan itu tercetus, pihak kerajaan telah meyekat perkhidmatan internet bagi mengelak berita dalaman tersebar. Namun baru-baru ini, ramai yang menggunakan tanda pagar #BlueforSudan dan menukar gambar profil di media-media sosial dengan warna biru sebagai tanda memperingati Mattar, seorang rakyat Sudan yang dibunuh. Hal ini juga secara tidak langsung membantu meningkatkan kesedaran penduduk dunia tentang krisis keamanan dan penindasan hak asasi manusia di Sudan.


Mudah-mudahan, usaha menyebarkan kesedaran tentang konflik keamanan di Sudan yang dilakukan penduduk dunia yang prihatin ini dapat mendesak pertubuhan antarabangsa seperti Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) amnya untuk mengambil inisiatif bagi meyelesaikan masalah ini.



Global Peace Mission (GPM)

"Misi Kemanusiaan Merentas Sempadan"


Rujukan:


[1] semestafakta.wordpress.com


[2] siakapkeli.my








65 views
This site was designed with the
.com
website builder. Create your website today.
Start Now